« Harian Metro - 11 Jan 2006 (translation) | HomePage | BHarian - 15 Jan 2006 »

01/12/2006

Harian Metro - 8 June 2005

Link here.

Ubati jiwa remaja hina Al-Quran
Oleh Muhamad Safar Ahmad

KETIKA kemarahan umat Islam di seluruh dunia memuncak berikutan tindakan biadab tentera Amerika Syarikat menendang dan menyimbah air kencing pada kitab suci al-Quran di Penjara Teluk Guantanamo, Cuba, keadaan yang hampir sama berlaku di negara kita sendiri.

ANUGERAH BINTANG POPULAR

Pendedahan Metro Ahad awal minggu ini menyebut satu kumpulan yang menggelar diri mereka Jangan Ikut Tuhan (JIT), dipercayai didalangi bekas pengikut Black Metal dilaporkan mula bergerak secara senyap di utara Semenanjung.

Dengan menjadikan bandar Sungai Petani sebagai pusat penyebaran ajaran mereka, kumpulan itu dilaporkan sedang mengumpul bekas anggota Black Metal untuk menghidupkan semula kegiatan mereka, tetapi kali ini dalam keadaan lebih berhati-hati.

Kandungan ajaran JIT juga mirip kepada Black Metal - menghina kitab suci al-Quran yang menjadi amalan asas kepada setiap ahli yang menyertai kumpulan itu.

Benarkah kumpulan ‘Black Metal kedua’ ini hidup kembali? Jika dakwaan itu benar, pihak berkuasa mempunyai banyak tugas yang perlu dibereskan.

Bagaimanapun, pada peringkat ini, masih terlalu awal untuk pihak berkuasa mengiyakan kebenaran dakwaan itu. Semuanya masih kabur dan tiada bukti kukuh boleh dijadikan asas siasatan.

Satu-satunya petunjuk yang ada ketika ini hanyalah e-mel yang ditulis pihak tertentu dan disebarkan kepada umum mengenai kegiatan kumpulan JIT yang didakwa cuba mencari pengaruh di Kedah terutama bandar Sungai Petani, tempat sama kewujudan Black Metal, beberapa tahun lalu.

Jika diteliti kandungan e-mel itu yang menyenaraikan beberapa upacara yang perlu dilalui pengikut JIT, jelas ia menggambarkan satu penghinaan yang sangat dahsyat terhadap agama Islam.

Lebih memalukan, perbuatan itu dilakukan seratus peratus remaja Melayu beragama Islam.

Kumpulan terbabit dianggotai remaja lelaki dan wanita Islam dikatakan perlu melalui ‘free thinker’ iaitu mencuri al-Quran sebelum menjalankan upacara khas mengikut jantina.

Difahamkan, anggota kumpulan JIT itu kini bergerak secara senyap, menukar imej berpakaian serta penampilan diri bagi mengelakkan mereka dikesan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, agenda mereka hampir sama dengan apa yang dilakukan kumpulan Black Metal yang bertekad untuk menjatuhkan Islam dengan menjadikan remaja Islam sebagai sasaran.

Antara upacara yang perlu dilalui kumpulan itu ialah perlu membuat unggun api sebelum mengelilinginya sambil mengoyak naskhah al-Quran dan dibakar.

Menurut e-mel itu juga, remaja lelaki akan memasukkan titisan darah mereka ke dalam gelas yang dipercayai dicampur darah kambing sebelum diminum.

Malah, lebih teruk lagi apabila remaja perempuan pula akan berbogel sambil mengoyakkan kitab suci itu dan ditaburkan, sebelum terus menghina ayat suci itu dengan melakukan seks bersama remaja lebih tua di atas helaian itu.

Ramai yang antara percaya dengan tidak terhadap pendedahan itu, tetapi umat Islam mempunyai asas untuk berasa bimbang kerana berdasarkan pengakuan bekas anggota Black Metal yang pernah disoal siasat beberapa tahun lalu, tidak mustahil kumpulan JIT melakukan tindakan serupa.

Timbalan Dekan Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Mohamed Yusoff Hussain, menyifatkan sikap fanatik terhadap sesuatu kumpulan seperti Black Metal menyebabkan golongan itu sanggup menghina al-Quran.

Sambil menyifatkan ia sebagai perbuatan yang terlalu biadab, Dr Mohamed Yusoff berkata, tindakan itu menggambarkan masalah kerosakan akidah yang teruk di kalangan remaja hari ini.

Walaupun bunga-bunga kewujudan semula ajaran songsang itu baru kelihatan, pihak berkuasa terutama jabatan agama, polis, sekolah malah ibu bapa sendiri perlu segera menggerakkan usaha membendungnya.

Kelewatan bertindak dikhuatiri mengundang padah lebih besar. Pihak berkaitan tidak sewajarnya membiarkan apa yang berlaku kepada kumpulan Black Metal sebelum ini berulang.

Jika benar ia wujud, kemunculan JIT perlu dilumpuhkan segera. Usaha bersepadu dan bersungguh-sungguh perlu digerakkan hingga ke akar umbi bagi mencari penyelesaian.

Remaja yang memiliki kecenderungan terhadap anasir itu perlu didekati bagi mencari punca permasalahan mereka seterusnya menyelesaikan masalah itu.

Sebenarnya tugas memantau penyelewengan akidah di kalangan remaja lebih rumit berbanding melakukannya terhadap orang dewasa.

Ini kerana usia remaja adalah saat yang paling mudah untuk menerima perubahan dan pengaruh luar.

Dalam usia ini remaja tidak dapat membuat keputusan dengan tepat, kebanyakan tindakan yang diambil didorong pengaruh rakan sebaya dan keseronokan.

“Sikap remaja yang mudah dipengaruhi anasir ‘hedonisme’ atau mementingkan keseronokan semata-mata adalah antara punca golongan itu mudah terpengaruh dengan kepercayaan pelik tertentu termasuk ajaran sesat,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam Hadhari Terengganu, Wan Mohamad Wan Hasan.

Ditambah dengan kurangnya didikan agama dan institusi kekeluargaan yang semakin longgar, remaja akan mencari sesuatu untuk mengisi kekosongan jiwa mereka.

Malangnya, pencarian mereka tersasar daripada apa yang sepatutnya mereka temui sehingga menjerumuskan mereka ke dalam konflik akidah yang serius.

Gaya hidup masa kini yang menuntut ibu bapa keluar rumah awal pagi dan hanya pulang selepas mata hari terbenam gagal menyediakan ruang yang cukup untuk mereka berkomunikasi dan bertanya khabar dengan anak remaja mereka.

Apa yang dilakukan anak mereka sepanjang ketiadaan ibu bapa di rumah langsung tidak diambil peduli.

Malah, ada ibu bapa melenting dan ‘menyerang’ pihak berkuasa jika anak mereka tertangkap kerana melakukan kesalahan.

Mereka mendakwa anak mereka tidak akan melakukan kesalahan itu dan memberitahu kononnya mereka lebih kenal siapa anak mereka daripada pihak berkuasa.

Jika ibu bapa enggan mengubah sikap mereka, percayalah, kemelut yang melanda remaja hari ini tidak akan selesai sampai bila-bila.

13:26 Posted in Harian Metro | Permalink | Comments (1) | Email this

Comments

" ya allah, sedarkanlah mereka mereka ini, bukakan lah pintu hati mereka ke jalanMu"

Posted by: anon | 01/13/2006