« The Star - 26 Jan 2006 | HomePage | Harian Metro - 27 Jan 2006 »
01/26/2006
Utusan - 26 Jan 2006
Link here.
rencana
Jangan hanya sekadar fatwa
Oleh Zulkiflee Bakar (Wartawan Utusan)
Setelah menunggu agak lama akhirnya Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan aliran muzik keras, Black Metal dikategorikan sebagai ajaran sesat dan boleh menjejaskan akidah mereka yang mengamalkannya.
Walaupun fatwa ini dianggap sesetengah pihak agak lewat setelah kejadian melibatkan kumpulan itu berleluasa namun ia sekurang-kurangnya menutupi kebimbangan umat Islam.
Berikutan keputusan Majlis Fatwa itu, kini masanya sudah tiba untuk pihak berkuasa di peringkat negeri melaksanakan `arahan' tersebut.
Kita tidak harus selamanya membiarkan gejala Black Metal ini yang jelas bertentangan dengan Islam berleluasa.
Anak muda kita yang tidak mempunyai pegangan agama yang kukuh serta mudah terpengaruh dengan budaya Barat yang memesongkan itu perlu disedarkan daripada terus terjerumus dalam `ajaran sesat' tersebut.
Mungkin ada di antara mereka yang menyokong kumpulan ini akan menganggap keputusan Majlis Fatwa adalah keterlaluan.
Tetapi apa yang perlu difahami langkah itu dilakukan demi menjaga kesucian Islam dan memelihara akidah umat Islam agar tidak terpengaruh dengan ajaran berkenaan.
Fahaman
Umat Islam yang waras pasti tidak akan menunggu majlis tersebut membuat keputusan sama ada Black Metal itu sesat atau tidak.
Ini kerana sudah terang perbuatan mengoyakkan al-Quran, tidak mahu mengikut Tuhan serta membawa fahaman kesyaitanan adalah bertentangan dengan Islam.
Oleh itu langkah Majlis Fatwa perlu disokong dan umat Islam perlu berganding bahu untuk memastikan ajaran sesat ini bukan sahaja tidak berkembang malah kalau boleh dihapuskan sama sekali dari bumi Malaysia ini.
Apa pun segalanya terletak kepada pihak berkuasa agama untuk menentukan sejauh manakah fatwa yang diputuskan itu dilaksanakan.
Sebenarnya, Majlis Fatwa boleh membuat apa juga keputusan demi kebaikan umat Islam tetapi ia tidak akan bermakna jika ada pihak berkuasa agama di peringkat negeri mendakwa `tidak semestinya semua keputusan majlis itu diguna pakai sepenuhnya'.
Justeru dalam isu Black Metal ini, semua pihak berkuasa agama tidak harus lagi memberi alasan sebaliknya perlu memastikan fatwa yang dikeluarkan dilaksanakan.
Tindakan yang diambil bukanlah bertujuan untuk mendera atau menghukum mereka yang terlibat dalam ajaran sesat itu tetapi bertujuan membawa mereka kembali kepada ajaran Islam sebenar.
Mungkin mereka yang terlibat ini tidak mengetahui apa-apa sebaliknya hanya sekadar mengikut sahaja justeru mereka perlu disedarkan.
Apa yang perlu difahami semua pihak isu Black Metal bukanlah isu kecil tetapi ia adalah isu akidah - satu isu yang boleh meruntuhkan kekuatan dan kemuliaan umat Islam, justeru bertindaklah.
12:22 Posted in Utusan Malaysia | Permalink | Comments (0) | Email this

